Ensiklopedia Muslimah Reformis: Sebuah Manual Muslimah Solehah dan Musliha

Huda Ramli

Pertama kali saya mendengarkan tentang buku ini adalah pada tahun 2019 daripada penulisnya sendiri, Prof. Dr. Musdah Mulia. Satu nama yang amat baru bagi saya yang pada masa itu kerana saya teramat baru dalam wacana Islam progresif. Tetapi nama Musdah Mulia bukanlah nama yang asing dalam ranah ini, dan nama beliau amatlah besar dan mengesankan dalam wacana progresif tentang Islam.

Dalam syarahan beliau ketika buku ini dilancarkan di Kota Cirebon, Jawa Barat dalam satu bengkel penulisan perempuan, beliau menceritakan sebuah anekdot yang amat mengesankan. Beliau telah dihadiahkan sebuah buku oleh teman beliau tentang ciri-ciri perempuan solehah.

Setelah dibelek, nah antara ciri yang beliau temukan antaranya adalah: perempuan solehah itu tidak memandang dan tidak dipandang; lalu beliau bilang, “habis kalau perempuan jalan ke depan menunduk saja ini nanti kalau langgar tiang lampu bagaimana?” Dan banyak lagi perkara-perkara menunjukkan kepasifan perempuan yang menimbulkan seribu satu pertanyaan dan tidak kurang menyebalkan lagi menjengkelkan beliau.

Tuntas beliau berkata, “ini bukan buku ciri perempuan solehah, tetapi perempuan tertindas.” Ketika itu, saya tersentak… Jujur, saya agak kaget, kerana selama ini dalam fikiran saya juga, tidak mampu saya bayangkan solehah itu maknanya selain daripada ketundukan, ketaatan, mendengar kata, sopan-santun, dan semua sifat yang berkonotasi kepasifan.

Selama ini, walaupun saya mengkritik dan melawan dogma-dogma agama dan agamawan yang bermasalah, berlandaskan ajaran agama sendiri dan bersandarkan nas dan dalil, saya tetap merasa diri saya sebagai perempuan melawan secara realiti bukanlah sebuah kesolehan; kerana kita semua telah diasuh dengan dogma bahawa solehnya perempuan adalah dengan ketaatan dan menurut kata. Melawan adalah sebuah taboo yang menghantui perempuan, termasuk saya sendiri.

Tetapi ketika itu, sebuah kebenaran yang saya wajib akui, perlawanan perempuan mendapatkan keadilan, terhadap penindasan dan perkara-perkara yang salah, memperjuangkan kemaslahatan, membela kehidupan manusia adalah manifestasi kesolehan sebenar. Bahkan ia adalah kesolehan perempuan yang dirakam dalam banyak ayat Al Quran; Al Mujadilah (Perempuan Yang Berdebat) ialah klimaks pengiktirafan perlawanan perempuan sebagai sebuah kesolehan. Kesedaran saya diketuk. Benar ciri-ciri perempuan solehah yang banyak diajarkan dalam buku-buku di pasaran adalah ciri-ciri perempuan tertindas!

Kesolehan bukan sebuah kepasifan, tetapi keaktifan; usaha, jihad dan aksi-aksi untuk membawa kemaslahatan manusia sejagat bertitik tolak daripada kesedaran tauhid yang membebaskan manusia daripada perhambaan dan perhambatan oleh manusia lain. Tauhid ialah titik permulaan pembebasan manusia, secara spiritual, mental dan fizikal.

Atas dasar ini, dan realiti ruang publik yang dipenuhi dengan buku-buku yang mengajar perempuan bagaimana untuk menjadi solehah yang sebenarnya amat bermasalah, Musdah Mulia menulis buku ini sebagai naratif alternatif tentang perempuan solehah buat muslimah di luar sana, dan dalam masa yang sama sebagai counter-narrative kepada naratif arus perdana konservatif yang menghambat dan melemahkan perempuan.

Buku ini adalah manual muslimah solehah yang memberdayakan dan muslimah solehah yang berdaya beliau namakan Muslimah Reformis; muslimah yang aktif, tidak pasif, yang yakin diri ke depan untuk merebut ruang berpartisipasi dalam segenap ruang yang mereka berada, ruang publik, domestik, intelektual, pekerjaan dan sebagainya. Rekonstruksi kesolehan dan konsep-konsep teologi seperti jihad, dakwah, hijrah yang selama ini digunakan untuk menundukkan perempuan membuang beban taboo perlawanan daripada kesedaran perempuan. Justeru, solehah juga mesti seiring dengan muslihah. Soleh pada diri dan membawa kemaslahatan pada sekeliling.

Buku ini ialah sebuah manual untuk pembebasan, khasnya pembebasan perempuan.

Terima kasih buat Prof Musdah Mulia untuk sebuah karya yang amat penting kepada kami semua, perempuan-perempuan melawan.