Musdah Mulia Penulis Wanita yang Berani

Kuala Lumpur, Siti Musdah Mulia merupakan aktivis hak kemanusiaan yang berasal dari Sulawesi, Indonesia. Beliau berperanan penting dalam membawa wacana perjuangan hak wanita dengan seruan supaya golongan wanita menuntut ilmu dan bercita-cita menjadi ulama. Menurut Nurhuda Ramli (Jurnal Sang Pemula), Siti Musdah Mulia disifatkan sebagai pejuang wanita yang sentiasa menyuarakan perjuangannya.

Beliau juga aktif menulis berkaitan dengan kemanusiaan, keadilan dan politik. Fokus penulisannya lebih terarah kepada mengangkat gagasan realiti keadilan yang dihadapi golongan wanita dalam dunia moden. Antara karya beliau ialah Islam Menggugat PoligamiNegara IslamMenuju Kemandirian Politik Perempuan dan Muslimah Reformis: Perempuan Baru Keagamaan.

Melalui sesi perkongsian “Membaca Kesedaran” anjuran bersama Articulator, Nusantara Bergerak dan Gerak Malaysia baru-baru ini, Dr. Azhar Ibrahim mengupas wacana yang diangkat Musdah Mulia dalam karyanya Muslimah Reformis dan gagasannya sebagai seorang pengarang.

Dr. Azhar Ibrahim ketika membicarakan tentang karya-karya Musdah Mulia.

Muslimah Reformis dimulai dengan suatu permasalahan dasar dan tidak bersifat semantik semata-mata. Bahasa yang digunakan Musdah Mulia dalam perbincangan tidak “berbunga-bunga” dan terlalu bermadah-madah. Perbincangan yang diangkat dalam Muslimah Reformis mengangkat hakikat pemahaman agama berkaitan gender, keperluan pembaharuan tafsir dan perlunya kerja rekonstruksi fiqah yang menyeluruh dan rinci. Menurut Dr. Azhar Ibrahim, “buku ini ialah suara seruan kepada pembaharuan. Beliau menulis dengan kukuh. Setiap lapisan mempunyai hujah yang jelas, padat, dan tidak ditulis dengan pesanan separuh masak.”

Buku ini juga disifatkan sebagai sebuah penyampaian idea yang strategik, terutamanya dalam menyuarakan pandangan berkaitan dengan pemilihan istilah. Contohnya ialah panggilan “feminis” yang diberikan kepada wanita yang bersuara dan aktif menuntut hak. Istilah “reformis” lebih sesuai digunakan yang bersifat identiti dan rasional.

Musdah Mulia juga berwacana untuk merungkaikan persoalan sensitif. Baginya, betapa pentingnya untuk masyarakat kita berhadapan dengan isu keadaan wanita masa kini. Beliau mengimbau kembali pada zaman Nabi Muhammad SAW, wanita lebih mendapat tempat dalam masyarakat berbanding suasana sekarang yang seolah-olah suara wanita seakan-akan bergerak menjauhi keadaan yang ideal.

“Kita selalu dimomokkan dengan kenyataan bahawa generasi pertama (generasi terdahulu) selalu ideal. Benarkah kenyataan ini kerana kebiasaannya suara ini dilontarkan oleh mereka yang berada dalam posisi ideal?,”. Kenyataan tersebut merupakan antara persoalan yang dilontarkan oleh Musdah Mulia untuk mengajak khalayak berfikir secara kritis dan mendalam.

Musdah Mulia juga menekankan perlunya meletakkan wanita sebagai subjek dalam wacana (bukan sebagai objek). Wacana dan ilmu tersebut pula harus dimanfaatkan dengan mendekati masyarakat di lapangan, bukan sekadar teori hasil perbincangan sarjana dan penulis untuk dijadikan hujahan semata-mata.

Musdah Mulia tegas dalam meletakkan posisi sebagai reformis muslim dan feminis serentak. Ujar beliau dalam Muslimah Reformis, “saya sangat bangga dengan identiti Muslim. Saya tidak melihat adanya kontradiksi dalam menjadi muslim dan feminis kerana saya telah memahami agama Islam secara bijak. Saya tidak peduli dengan rintangan yang saya hadapi. Saya akan terus maju ke hadapan tanpa takut akan sesiapa pun. Saya melakukan segala usaha ini untuk membasmi semua bentuk diskriminasi dan eksploitasi demi kebaikan sejagat dan akhirnya melahirkan peradaban yang jauh lebih baik dengan menghormati kemanusiaan.”

Karya-karya beliau yang merangkumi pelbagai wacana itu luas perbincangannya. Mengupas tentang Islam, politik, budaya, gender dan banyak lagi, Dr. Azhar melihat gagasan yang dibawa Musdah Mulia sangat berani.

“Saya belum pernah jumpa siapa-siapa yang seberani beliau dalam menulis perihal topik yang selalu dianggap tabu. Hal tersebut menunjukkan bahawa kita tidak perlu takut untuk menulis atau membaca tajuk yang sensitif, asalkan kita menguasai topik itu.”

 

Sumber: Dewansastera